Wednesday, October 22, 2008

Apa pula pendapat anda??

Pandangan berbeza Sains, Matematik diajar dalam BI
Teks ini dipetik dari http://www.moe.gov.my/bpk/#

Rabu, 22 Oktober 2008
PUTRAJAYA: Siri persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berakhir, semalam, dengan pemimpin parti politik berbeza pendapat berhubung pelaksanaan program itu. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata sebilangan besar parti politik yang diberi masa selama lima minit untuk menyuarakan pandangan masing-masing berharap pelaksanaan PPSMI tidak akan menjejaskan tumpuan pelajar khususnya terhadap mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
“Semua wakil parti politik yang hadir termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, mengemukakan pandangan bernas mereka secara profesional dan mahu kementerian memberi keutamaan kepada pelajar ketika membuat keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan persidangan kali keempat itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam. Hadir sama, seorang lagi Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang. Selain parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), siri persidangan meja bulat PPSMI turut disertai pegawai institusi pengajian tinggi, kesatuan guru, badan profesional, korporat, guru dan pelajar dari semua peringkat sekolah.
PPSMI dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan sejak 2003 bagi murid Tahun Satu, Tingkatan Satu, Tingkatan Enam bawah dan matrikulasi. Sebelum ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Kementerian Pelajaran akan mengambil kira semua pandangan dikemukakan pelbagai pihak pada siri persidangan meja bulat itu sebelum membuat keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI. Namun, katanya, keputusan muktamad berhubung pelaksanaan PPSMI hanya diketahui selepas keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 diumumkan kerana mereka kumpulan pertama terbabit dengan program itu sejak Tahun Satu.

No comments: